Tuesday, June 15, 2010

KhASiat Buah Kurma....

Khasiat Kurma

Kurma mempunyai khasiat yang banyak. Antaranya kurma mampu mengelakkan
penyakit, menyembuhkan penyakit, memudahkan proses bersalin, memudahkan
pencernaan dan banyak lagi.

1.2.1 Kurma mengelakkan penyakit

Zat galian seperti kalium, kalsium, zat besi boleh menyihatkan sel darah
merah dan seterusnya mengurangkan risiko sakit jantung dan diabetes. Kurma
juga mempunyai serat yang tinggi di samping nutrien yang disebutkan tadi.
Semua zat galian yang terdapat dalam kurma amat membantu dalam mencegah
penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis. Kenyataan ini dikuatkan
lagi dengan kenyataan daripada Prof. Madya Asiah Mohd Zain, pensyarah
Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi UPM, "Daripada
segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko
seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis
kerana kurma mengandungi zat galian seperti kalium, kalsium dan zat besi
yang boleh menyihatkan sel darah merah."

1.2.2 Menyembuhkan penyakit yang kronik

Selain itu, kurma juga mengandungi protein dan garam galian yang
menghentikan tindak balas luar biasa yang dicetuskan oleh gluten di dalam
usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran
sel darah putih secara berlebihan. Selain gangguan usus, jus kurma berkesan
untuk mengatasi masalah sembelit. Bagaimanapun minuman ini tidak sesuai
diamalkan oleh mereka yang mengidap penyakit diabetes kerana boleh
mendatangkan kesan yang lebih serius. Jus kurma juga merupakan penawar
mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia. Bagi
mereka yang mengalami masalah batuk, jus kurma sesuai untuk diamalkan kerana
kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam
kerongkong sekali gus menghentikan batuk.

1.2.3 Memudahkan proses bersalin

Bagi perempuan dalam pantang yang kehilangan darah, zat besi dan kalsium
dalam kurma sangat membantu untuk menambahkan jumlah sel darah merah. Unsur
ini juga boleh meningkatkan kadar pengeluaran susu ibu. Kalsium dan kalium
yang terdapat dalam kurma juga dapat mengelak daripada berlakunya tekanan
darah tinggi.

Menurut kajian Dr. Mahmud Nazim al Nasimy dalam buku Tempoh Mengandung
Daripada Segi Perubatan: Fiqhiyyah dan Perundangan, jus kurma dapat menolong
mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuh urat rahim dan
memudahkan bersalin. Vitamin A pula dapat memelihara kulit yang sihat. Kurma
juga mengandungi kalium yang dapat mengurangkan risiko penyakit strok. Hal
ini demikian kerana kalium ialah sejenis mineral yang membuatkan kadar
denyutan jantung menjadi teratur serta membantu tekanan darah.

1.2.4 Memudahkan proses pencernaan

Kurma merupakan juadah yang sangat popular pada bulan Ramadan. Umat Islam
memakannya ketika berbuka puasa. Nabi menggalakkan umat Islam berbuka puasa
dengan mengambil buah kurma. Apakah faedahnya? Jawapannya tidak lain tidak
bukan kerana kurma mengandungi glukosa dan sukrosa. Ketika perut kosong,
saat itulah makanan yang mengandungi nutrien glukosa dan sukrosa akan mudah
dicerna dan diserap secara cepat dan maksimum. Jadi, kandungan glukosa dan
sukrosa dalam kurma yang banyak itu menjadikan proses pencernaan di dalam
badan sangat mudah. Selain itu, kita juga tertanya-tanya sebab seseorang itu
memakan buah kurma, dia terus berasa kenyang? Maka antara salah satu
daripada rahsianya seperti yang terdapat dalam kitab 'al-Maktuubaat' hasil
tulisan Siir al-Hindi, menyatakan bahawa biji kurma itu pada asalnya dicipta
oleh Allah SWT daripada sisa tanah kejadian Nabi Adam a.s. Oleh hal yang
demikian, sesiapa yang memakan kurma akan terus menjadi darah daging dan
rasa kenyang dengan serta-merta.

1.2.5 Kurma menenangkan perasaan

Dalam al-Quran surah Maryam ayat 26, Allah SWT berfirman kepada Saidatina
Maryam a.s; "Bertenanglah hati daripada segala yang merunsingkan".

Ternyata firman Allah SWT ini yang menyuruh Mariam memakan kurma untuk
menenangkan fi kiran tidak bercanggah dengan kajian sains. Pengkaji
mendapati dalam buah kurma terdapat sejenis bahan asas protein, iaitu asid
amino (essential amino acid) yang dikenali dengan nama triptofan. Triptofan
merupakan sejenis asid amino yang sangat diperlukan bagi membantu mekanisme
badan yang lain terutamanya bagi sintesis niasin. Terdapat sesetengah asid
amino boleh dihasilkan oleh badan tetapi unsur triptofan hanya dapat
diperoleh melalui diet pemakanan manusia. Triptofan ini sejenis unsur yang
boleh memberikan ketenangan kepada manusia. Tanpa triptofan, manusia akan
rasa serabut, tertekan, gundah-gulana dan tidak tentu arah.

Penyelidikan klinikal juga mendapati bahawa triptofan berperanan sebagai
agen antidepresi dan meningkatkan kadar neurotransmit serotonin (kawal atur
aras ketenangan) dalam otak. Jadi, benarlah fi rman-Nya dalam al-Quran. Maha
suci Tuhan yang telah menjadikan buah kurma ini dengan begitu sempurna,
bukan sahaja memberikan manfaat kepada fi zikal manusia bahkan memberikan
manfaat untuk jiwa dan mental manusia.

1.2.6 Kurma memelihara kesihatan dan menjauhkan sihir


Selain menenangkan perasaan, kurma juga memelihara kesihatan. Berdasarkan
kajian kimia dan fi siologi oleh Dr. Ahmad Abdul Ra'ouf Hisyam dan Dr. Ali
Ahmad Syahhat, memakan kurma ketika berbuka puasa akan menambahkan peratus
kandungan glukosa dan sukrosa dalam badan. Antara kurma yang terbaik ialah
kurma ajwah yang sangat tinggi mutu dan harganya. Kurma ini juga dikenali
sebagai kurma nabi kerana asal permulaannya telah ditanam oleh Nabi Muhammad
SAW. Kurma ajwah mempunyai khasiat yang banyak. Bahkan dengan memakan
tujuh biji kurma ajwah akan menyebabkan seseorang itu terselamat daripada
sihir dan gangguan syaitan.

Nabi bersabda, maksudnya: "Ajwah itu buahan daripada syurga. Ajwah merupakan
penawar kepada segala racun." (Tarmizi, Nasaai dan Ibnu Majah)



0 comments:

Post a Comment