Monday, May 16, 2011

alahai Af 9: Cikgu PUn saMPi kecewa........Happy Guru Day Cikgu Syafi


TENAGA pengajar Akademi Fantasia musim sembilan (AF9), Syafizawati Sharif sudah bersama-sama dengan program realiti popular ini sejak musim keempat dan masih setia menjadi seorang tenaga pengajar sebagai guru vokal teknikal sehingga musim terakhir tahun ini.
Sudah ramai penyanyi kelahiran AF yang menjalani latihan vokal dengan Cikgu Syafi sepanjang pembelajaran mereka di akademi dan sehingga hari ini, masih ada antara pelajar AF yang masih lagi menjadikan Syafi sebagai pakar rujukan mereka.

Bagaimanapun, kekecewaan Syafi terhadap vokal pelajar program realiti Akademi Fantasia (AF) bagi musim kesembilan ini jelas terpancar di wajah manisnya dan pada sorotan matanya yang suram apabila diajukan soalan mengenai perkembangan suara pelajar musim ini.

“Semua pelajar pada musim kali ini mempunyai asas vokal yang sangat rapuh. Saya terpaksa mengajar mereka bermula dari peringkat paling asas.


“Umpama mengajar mereka untuk mengenal huruf dan mengeja. Tidak dinafikan, mereka boleh menyanyi, tetapi hanya sekadar menyanyi tanpa sokongan vokal yang solid.

“Mereka sesuka hati meletakkan legato dan stekato pada tempat-tempat yang pada fikiran mereka adalah tempat yang sesuai walhal ia sama sekali tidak sesuai. Selain itu, mereka juga sesuka hati meletakkan vibrato pada lagu yang mereka nyanyikan,” katanya.

Syafi turut berkata mereka hanya minat menyanyi dan kurang berminat untuk mempelajari teknik vokal untuk menyokong suara lunak mereka.

Mereka beranggapan bahawa vokal mereka sudah cukup mantap apabila pengkritik menyukai persembahan dan nyanyian mereka ketika konsert berlangsung walhal masih banyak lagi yang mereka perlu pelajari untuk memantapkan lagi teknik vokal mereka.

“Sudah menjadi tabiat orang Malaysia apabila seseorang penyanyi itu mampu menyanyikan lagu bernada tinggi mereka akan bertepuk tangan sebagai tanda berpuas hati dengan persembahan itu, tetapi bagi pandangan pihak profesional seperti kami, telinga kami mampu mendengar kekurangan pada vokal mereka.

“Vokal mereka ketika menyanyikan lagu bernada tinggi tidak ‘round’ dan perlu menyuntik lebih teknik vokal. Nera contohnya mempunyai vokal lebih mantap dan solid jika dibandingkan dengan pelajar lain. Sebutannya sangat jelas,” katanya.

Tambah Syafi, walaupun pada malam konsert Sabtu lalu Nera lebih banyak dikritik pada lakonannya berbanding nyanyian, tetapi lagu-lagu yang diberikan tenaga pengajar kepada Nera tidak menguji kelebihan vokal sebenarnya. Beliau berharap agar Nera diberikan lagu yang lebih mencabar vokalnya.

Tabiat mereka menyanyi di pentas juga sebelum menjadi pelajar AF terbawa-bawa ketika mereka membuat persembahan konsert AF.

Pelajar tidak dapat membuang kebiasaan mereka dan gagal mengaplikasikan teknik vokal yang sudah diajar oleh Syafi.

“Menjadi seorang penghibur bukan hanya mereka perlu menyanyi atau menari ketika membuat persembahan, tetapi mereka perlu menyanyikan menggunakan IQ mereka. Tetapi apa yang saya lihat pelajar-pelajar kali ini sangat malas memahami lirik lagu yang akan mereka nyanyikan. Mereka terlalu bersandar pada pujian pengkritik semata-mata.

“Nada rendah Fina sangat lemah, tetapi dia langsung tidak datang dan berjumpa untuk bertanya cara memperbaiki nada rendahnya. Hazama pula digambarkan sebagai seorang yang terlalu banyak alasan. Hazama sering memberikan alasan demi alasan apabila diminta membuat latihan vokal.

“Saya mengajar mereka dengan ikhlas. Saya bukan hanya mengajar mereka secara berkumpulan, tetapi saya juga memeriksa teknik vokal mereka seorang demi seorang. Tidak ada yang terkecuali. Semua mereka mendapat perhatian dari saya,” katanya.

Syafi melihat Erul sebagai seorang yang boleh pergi jauh. Apatah lagi dengan kelebihan Erul yang suka membuat improvisi pada lagu yang akan dinyanyikannya, tetapi masalah yang ada pada Erul ialah setiap hari improvisi pada lagu itu akan berubah.

Menurut Syafi, sepanjang beliau mengajar, beliau sangat kagum dengan AF7 kerana semua mereka mempunyai vokal dan sikap yang serius dan paling membanggakannya ialah Stacy kerana akan melakukan dan mengaplikasikan setiap yang diajar.

Katanya, sehingga hari ini,, Stacy masih lagi akan berjumpa dengannya bagi memantapkan lagi teknik vokalnya.

“Selain Stacy, pelajar yang patut dijadikan contoh ialah Akim. Pertama kali dia menyertai AF, dia bermula dengan kosong. Dia langsung tak tahu apa-apa mengenai vokal. Tetapi setiap minggu saya lihat peningkatan yang ketara. Dia betul-betul menumpukan perhatian ketika dalam kelas,” katanya.

Syafi juga melahirkan rasa kecewa apabila ada antara pelajar AF yang sudah menghasilkan album datang kepadanya meminta tunjuk ajar untuk memantapkan vokal mereka membuat persembahan nyanyian.

Keadaan itu memberikan gambaran bahawa sebelum ini bekas pelajar itu tidak mengambil serius ketika pembelajaran teknik vokal dengannya.

p/s: hehe memasing degil tak nak dgr ckp cikgu!!hahah

0 comments:

Post a Comment